Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:01pm
KEADAAN mayat wanita warga emas ditemui di bilik àir rumàh sewànya dengàn keadaan tinggal rangka di Taman Century Garden. NSTP/Ihsan PDRM

Broker temui rangka dalam rumah hendak dijual

JOHOR BAHRU: Seorang broker yang mahu berurusan mengenai penjualan rumah menemui rangka manusia dalam sebuah rumah di Jalan Seneka, Taman Century Garden di sini.

Dalam kejadian jam 2.35 petang, Sabtu lalu broker berkenaan mahu berjumpa penyewa rumah terbabit sebelum bertindak masuk berikutan panggilannya tidak berjawab.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pihaknya mengenal pasti rangka berkenaan adalah milik seorang warga emas, Hooi Mee [email protected] Baby, 78.

“Pengadu yang juga broker rumah memberitahu terjumpa rangka manusia di rumah di Taman Century Garden, di sini.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati rangka manusia ditemui di pintu bilik air dalam bilik di rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, pihak polis membuat pemeriksaan lanjut ke atas rangka manusia dan mendapati tiada tanda unsur perbuatan jenayah.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui apa apa senjata yang menjurus kepada perbuatan jenayah,” katanya.

Katanya, broker rumah berkenaan mendakwa datang ke rumah itu untuk bertemu penyewa rumah.

“Ini kerana rumah itu akan dijual kepada orang lain, namun sebaik tiba di rumah itu penyewa gagal menjawab panggilannya.

“Pengadu membuka pintu yang dikunci dari dalam. Apabila diperiksa dia menemui rangka manusia di pintu bilik air dalam satu daripada bilik di rumah itu,” katanya.

Pengadu katanya, menghubungi pihak polis dan rangka manusia dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, wanita itu dianggarkan sudah meninggal dunia dalam tempoh lebih enam bulan, manakala keluarga si mati sedang dikesan bagi tujuan siasatan dan tuntutan mayat di HSA.

“Sehingga kini tiada unsur jenayah atau khianat ditemui dalam kejadian ini dan siasatan mati mengejut dibuat dalam kes ini,” katanya.

Berita Harian X