Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:05pm

Bapa durjana dipenjara 40 tahun, 24 sebatan

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa dihukum penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini hari ini atas kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu masing-masing mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan sumbang mahram; Seksyen 377B Kanun Keseksaan (melakukan seks luar tabii) dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (menghasilkan video pornografi).

Nooriah dalam penghakimannya, berkata tertuduh yang berusia 41 tahun sepatutnya memberi menjaga dengan baik anaknya itu memandangkan mangsa adalah OKU, namun bertindak sebaliknya apabila mengambil kesempatan dengan melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Perbuatan tertuduh meninggalkan trauma kepada mangsa dan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan ini menggambarkan niat parlimen melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

“Perbuatan tertuduh amat keji dan dikutuk bukan saja oleh agama Islam, bahkan agama lain. Hukuman dijatuhkan ini amat setimpal dan diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh, begitu juga masyarakat,” katanya.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B KK apabila didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah dan beranda rumah di Marang.

Bapa kepada dua anak itu mengaku salah melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 11 pagi dan jam 5 pagi pada 20 dan 21 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah masing-masing menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu. Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Tertuduh yang mengaku salah menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit milik mangsa di sebuah rumah di Marang, jam 11 pagi pada 20 September lalu turut dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua berjalan secara berasingan bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 September lalu.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh diletakkan dibawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang bapa bukan hanya tergamak merogol anak kandungnya yang juga pemegang OKU kategori masalah pembelajaran tetapi dipercayai turut merakam perbuatan terkutuknya itu.

Perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya yang juga ibu mangsa berusia 33 tahun melihat rakaman video itu pada telefon bimbit suaminya.

Lelaki terbabit dipercayai menjadikan mangsa sebagai tempat memuaskan nafsu sejak anaknya itu berusia enam tahun dan mengarahkan mangsa supaya tidak menceritakan perbuatan terkutuknya itu kepada isterinya yang juga ibu mangsa.

LELAKI berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan di Mahkamah Sesyen kerana merogol, seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandungnya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran. NSTP/Imran Makhzan.
Berita Harian X