Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:05pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Jho Low penghubung 1MDB dan Najib - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, adalah satu-satunya penghubung antara syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ketua pegawai eksekutifnya serta Datuk Seri Najib Razak selaku pemegang saham tunggal.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi menjelaskan, disebabkan peranannya itu, Jho Low hadir pada mesyuarat bersama Bank Negara Malaysia (BNM) walaupun tidak dijemput.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau hanya diberitahu mengenai nasihat rasmi yang diberikan BNM daripada Jho Low dan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

Menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib pada sesi pemeriksaan balas, Shahrol Azral berkata beliau bagaimanapun tidak memberitahu Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB yang dia (saksi) tidak hadir pada mesyuarat berkenaan.

Katanya, beliau juga tidak memberikan bayangan kepada BOD bahawa Jho Low dan Joanna yang hadir pada mesyuarat itu.

Saksi turut mengakui beliau tidak memberitahu BOD bahawa Jho Low dan Joanna yang mendapat nasihat rasmi daripada BNM.

Muhammad Shafee: Ada pada bila-bila masa beritahu BOD?

Shahrol Azral: Ini kali pertama

Muhammad Shafee: Pada mesyuarat itu, Jho Low tidak dijemput?

Shahrol Azral: Ya

Muhammad Shafee: Pada 10 Oktober 2009, siapa pemegang saham?

Shahrol Azral: Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

Shahrol Azral bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa ketika pelaksanaan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA), MOF Inc belum menjadi pemegang saham syarikat itu, yang kemudian dikenali dengan nama 1MDB.

Berita Harian X