Rabu, 9 Oktober 2019 | 10:25pm

Aksi wanita pijak, hentak bayi viral di laman sosial

KUALA LUMPUR: Satu rakaman video memaparkan aksi kejam seorang wanita memijak dan menendang seorang bayi sebelum menghentakkannya ke dinding mula tersebar di laman sosial sejak tengah hari tadi.

Aksi berkenaan dikesan melalui rakaman video berdurasi 39 saat menunjukkan wanita berkenaan memijak perut dan dada bayi itu secara berterusan.

Pada masa yang sama suara seorang lelaki yang dipercayai merakam video berkenaan menyatakan supaya tidak membuat bising.

Ketika wanita berkenaan memijak tubuh bayi malang berkenaan, cukup sebak mendengar tangisan mangsa menjerit kesakitan.

Wanita itu kemudian menghempas bayi itu ke dinding sebelum meletakkannya ke lantai dan menumbuk bahagian belakang bayi.

Dia kemudian mengambil satu objek dan memukul bayi itu sebelum mengambil pisau, namun mencampakkannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi, pihaknya ketika ini masih belum menerima sebarang laporan atau maklumat mengenai kejadian itu.

"Kita belum dapat memastikan kejadian itu berlaku di mana, sama ada di Malaysia atau luar negara. Kita mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai untuk membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian X