Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:53am
Bernard Arnault.

Arnault, antara individu terkaya Eropah dilantik Ahli Lembaga Pengarah TIA

KUALA LUMPUR: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH Moët Hennessy-Louis Vuitton SE, Bernard Arnault, dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) atas persetujuan Datuk Seri Najib Razak.

LVMH, syarikat barang mewah terbesar dunia dan Arnault antara lelaki terkaya di Eropah. Beliau juga seorang pelabur dan pengumpul barang seni.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya, berkata pelantikan itu dicadangkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan, berkata Jho Low memberitahunya bahawa pelantikan itu sudah dipersetujui oleh Najib.

“Nama (Arnault) datang daripada Jho Low, dia cakap Najib dah setuju. Dia (Jho Low) beritahu saya ketika meneliti proses menandatangani surat pelantikan dan pengesahan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah,” katanya.


Shahrol Azral (kiri) hadir pada sambung bicara kes Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau mengesahkan perkara itu dengan Najib, Shahrol Azral menjawab, “tidak”.

Disoal Muhammad Shafee bahawa beliau tidak mengesahkan perkara itu kerana percaya kepada Jho Low, saksi menjawab; “Kerana apa yang diarahkan dan tindakan oleh Jho Low terbukti konsisten dengan arahan Najib”.

Ditanya lagi sama ada asas beliau menerima kata-kata Jho Low kerana percaya dengan ahli perniagaan itu, Shahrol Azral menjawab, “ya”.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

Berita Harian X