Khamis, 10 Oktober 2019 | 2:29pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 1, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Najib setuju TIA diambil alih Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dinamakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Kerajaan Persekutuan dipersetujui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli perniagaan kontroversi yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memaklumkan mengenai persetujuan Najib kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Azral memberikan keterangan itu ketika dirujuk dengan surat dikemukakan kepadanya oleh Najib yang menyokong pengambilalihan TIA oleh Kerajaan Persekutuan bertarikh 25 Jun 2009.

Saksi kesembilan pendakwaan yang disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan, pada ketika itu beliau agak kelam kabut dan cuba mendapatkan penjelasan daripada Jho Low berhubung apa yang dimahukan Najib.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, Jho Low sebelum itu sudah memberitahunya bahawa Najib sudah bersetuju dengan transformasi TIA kepada 1MDB.

Muhammad Shafee mencadangkan kepada saksi, bahawa sebelum surat itu dikeluarkan, tiada Kertas Kabinet atau sebarang dokumen menunjukkan keputusan bertulis Perdana Menteri atau Kabinet yang mahukan TIA diambil alih Kerajaan Persekutuan.

Shahrol Azral menjawab, pada ketika itu, beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai keputusan Kabinet.

Berita Harian X