Jumaat, 11 Oktober 2019 | 4:01pm

Nelayan hadapi 22 tuduhan rogol, cabul anak tiri

IPOH: Seorang nelayan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak tirinya sejak awal April 2016 sehingga bulan lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun didakwa melakukan kesalahan itu ketika mangsa berusia 12 tahun sehingga anak tirinya itu berusia 15 tahun, tahun ini.

Dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan manakala tidak mengaku bersalah bagi 16 pertuduhan lain selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norashima Khalid.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah bagi lima pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau dua daripadanya, bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku bersalah merakam gambar anak tirinya ketika sedang memakai pakaian mengikut Seksyen 509 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Lekir, dalam daerah Manjung antara April 2016 hingga 31 Mac 2017.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah atas 14 dakwaan melakukan sumbang mahram dengan anak tirinya itu dan dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika remaja itu berusia 12 tahun 10 bulan.

Dia menghadapi lapan tuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Sementara, lima tuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, bagi setiap tuduhan jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa masing-masing mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum 25 tahun serta sebatan tidak kurang dua rotan dan diletakkan di bawah pengawasan polis, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di lokasi sama antara April 2016 sehingga 29 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan tertuduh tinggal serumah dengan mangsa dan bimbang berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap mangsa dan saksi pendakwaan.

Norashima tidak membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan semula kesemua kes berkenaan.

Berita Harian X