Sabtu, 12 Oktober 2019 | 2:57pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Isu LTTE: Penahanan tidak babit perkauman

MELAKA : Penahanan tujuh individu dipercayai terbabit kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan tidak membabitkan isu perkauman.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau berharap semua pihak faham dengan perkara itu kerana pihak polis sudah menjalankan tugas dengan baik dalam menjaga soal keselamatan dan keamanan negara.

Katanya, keputusan penahanan itu dibuat bersama bukti yang dikumpul dalam tempoh jangka masa panjang dan perlu dibanteras di peringkat awal.

“Mereka yang ditahan belum terbukti bersalah tetapi atas dasar berwajib dan bukti, tindakan diambil. Saya harap semua pihak faham.

“Elemen keganasan bukan bersandarkan soal kaum, jika ada kumpulan Daesh, ia berlaku dalam kumpulan pengganas Melayu Islam dan terbukti terbabit, kita (juga) ambil tindakan. Jadi, tiada elemen kaum dalam soal menentukan keselamatan negara,” katanya pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang, Pingat Kebesaran negeri, di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menerima Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama sempena sambutan Hari Jadi Ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Muhyiddin berkata, tindakan itu juga tiada niat atau tujuan tertentu yang disifatkan sebagai menyentuh isu perkauman bagi sesetengah masyarakat.

Beliau turut mengesahkan LTTE masih diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas walaupun ada yang mendakwa ia sudah berlalu.

“Soal pokok, ia bukan LTTE sahaja tetapi elemen menunjukkan ada bentuk keganasan dan kemungkinan berlaku keganasan, membuktikan ada asas kukuh untuk bertindak (tahan),” katanya.

Terdahulu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan LTTE.

LTTE adalah kumpulan diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim mengingatkan kepada masyarakat khususnya India di Melaka supaya tidak memanjangkan isu LTTE dengan perkauman dan menyarankan supaya mengambil langkah bertenang bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

Berita Harian X