Isnin, 14 Oktober 2019 | 5:57pm
Fazlisyah (kiri) meluangkan masa melawat Syahril Haziq yang dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah. - NSTP/Amran Yahya

Anggota APM cedera dipatuk tedung

KUALA PILAH: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Syahril Haziq Cik Raman, 21, cedera dipatuk ular tedung ketika menyertai operasi menangkap reptilia itu, Sabtu lalu.

Pegawai APM Kuala Pilah, Muhammad Aminudin Suhaimi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu di Kampung Ibol, Terachi kira-kira jam 3.18 petang memaklumkan seekor ular berwarna hitam masuk ke rumahnya.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, mangsa bersama dua lagi anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 3.34 petang.

“Pada mulanya, seorang anggota APM berjaya menjerut dan menyepit kepala ular itu sebelum memasukkannya ke dalam karung. Bagaimanapun, reptilia iti tiba-tiba keluar dan mematuk jari telunjuk tangan kiri mangsa yang ketika itu sedang memegang karung terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Muhammad Aminudin berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, sehari kemudian kira-kira jam 9.30 malam, mangsa memberitahu jarinya semakin membengkak dan mula merasa kebas.

“Mangsa kini sudah dipindahkan ke wad biasa, namun masih diletakkan di bawah pemantauan rapi,” katanya.

Muhammad Aminudin ketika mengulas lanjut, berkata mangsa bersama dua rakannya menggunakan pakaian keselamatan yang lengkap dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, APM sentiasa melakukan penambahbaikkan dari semasa ke semasa bagi mengelak kemalangan ketika bertugas.

Sementara itu, Pengarah APM Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim turut meluangkan masa menziarahi mangsa di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Berita Harian X