Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:30pm
Saidah cedera di tapak tangan dan lengan kiri akibat ditetak dengan parang oleh suspek yang menyamunnya ketika azan Subuh berkumandang di Kampung Mahligai, Bachok. - Ihsan pembaca

Ditetak ketika azan Subuh

BACHOK: Seorang warga emas cedera akibat ditetak dengan parang oleh suspek yang menyamunnya ketika azan Subuh berkumandang di Kampung Mahligai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa, Saidah Mat Yusoff, 69, cedera di tapak tangan dan lengan kiri.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mahligai sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.

Suaminya, Ibrahim Harun, 70, berkata sebelum kejadian dia dan isteri baru membuka kedai makan.

Ketika kejadian berlaku, dia baru sahaja sampai di tangga Masjid Mahligai yang terletak bertentangan dengan kedai makannya untuk menunaikan solat Subuh sebelum terdengar isterinya menjerit meminta tolong.

“Isteri berlari ke masjid dalam keadaan berlumuran darah dengan memegang tangan kirinya yang ditetak.

“Dia beritahu diserang seorang lelaki bertopeng dengan parang dan melarikan rantai leher serta satu beg isteri yang mengandungi wang dan barang kemas.

“Isteri saya kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahligai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia kejadian ketiga berlaku di kedainya namun ini kali pertama berdepan dengan penjenayah manakala sebelum ini pencuri hanya melarikan tong gas.

“Isteri masih trauma dan tidak dapat melelapkan mata kerana masih dihantui kejadian ngeri itu, saya harap pelaku dapat ditangkap segera,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kes itu yang dilaporkan di Balai Polis Gunung, Bachok, jam 9 pagi hari kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Berita Harian X