Isnin, 14 Oktober 2019 | 8:35pm
Shahrol Azral tidak menafikan beliau boleh berhubung terus dengan Najib. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Saya memang boleh berhubung terus dengan Najib, tapi... - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak menafikan bahawa beliau boleh berhubung terus dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, beliau perlu menghormati Najib dan tidak menghantar pesanan ringkas dengan sewenang-wenangnya untuk mengesahkan perkara yang difikirkannya benar (adalah arahan daripada Najib sendiri).

Keterangan Shahrol Azral itu susulan pertanyaan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada beliau mengesahkan daripada Najib mengenai arahan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengenai urusan membabitkan 1MDB.

Menceritakan lanjut mengenai isu yang dibangkitkan peguam itu, Shahrol Azral menegaskan beliau hanya menghubungi Najib setahun sekali untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Jadi’.

Muhammad Shafee: Setuju saya katakan bahawa kamu boleh berbalas mesej dengan Najib, malah nombor telefon kamu ada dalam telefon bimbit Najib?

Shahrol Azral: Saya menghantar mesej kepada Najib setahun sekali untuk mengucapkan selamat hari jadi dan sebelum pilihan raya.

Saya memang boleh berhubung terus dengan Najib, namun saya perlu menghormati beliau dan tidak menghantar mesej sewenang-wenangnya kepada beliau untuk perkara yang saya percaya adalah betul.

Ketika itu saya tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak mempercayai Jho Low.

Dalam pada itu, Shahrol Azral menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau bersekongkol dengan Jho Low untuk menyembunyikan kedudukan sebenar syarikat 1MDB.

Ia susulan tindakan Muhammad Shafee merujuk saksi kepada surat yang menyatakan dokumen sulit syarikat hanya boleh dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara bagi penelitian terperinci selepas mendapatkan kebenaran beberapa pihak.

Menurut peguam, kebenaran itu perlu diperoleh daripada Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan juga rakan kongsi pelaburan, iaitu Mubadala Investment Co dan PetroSaudi Investment Limited (PSI).

Saksi yang disoal mengenai mengenai perkara itu, menjelaskan bahawa maklumat berkenaan membabitkan pelaburan dengan rakan pelaburan yang tidak mahukan dokumen dimiliki pihak lain.

Saksi bagaimanapun menegaskan ia bukan bermakna 1MDB sepatutnya dikendalikan sebagai entiti rahsia dan menafikan cadangan peguam bahawa beliau seolah-olah menyatakan Jabatan Audit Negara tidak boleh dipercayai.

Muhammad Shafee: Kamu bersekongkol dengan Jho Low kerana transaksi mencurigakan berhubung bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) terbitan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA)?

Shahrol: Tidak setuju.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan bahawa kamu bukan naif (lurus) dengan mengikut semua arahan Jho Low?

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Shahrol Azral bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam bahawa 1MDB melengah-lengahkan permintaan Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat, yang menurutnya, adalah arahan Ahli Lembaga Pengarah.

Dicadangkan peguam bahawa Najib tiada kena mengena dengan keputusan itu, saksi menjawab, ‘tidak setuju’.

Berita Harian X