Selasa, 15 Oktober 2019 | 3:52pm
Bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia selepas disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Tawau. - Ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan di Perairan Tawau, di sini semalam selepas disyaki melanggar syarat lesen Jabatan Perikanan Sabah.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata bot nelayan itu dikesan menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan kira-kira jam 11.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bot peronda Maritim Malaysia terserempak dengan bot nelayan itu sedang melakukan penangkapan ikan di lokasi kurang dua batu nautika (nm) dari pesisir pantai.

“Didapati ada seorang juragan lelaki bersama dua awak-awak warga Indonesia dalam bot berkenaan. Kedua-dua warga asing berusia antara 30 hingga 38 tahun itu memiliki dokumen pengenalan diri serta pasport yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka ditahan dan bot nelayan itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen bot,” katanya.

Sementara itu, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan melanggar undang-undang perairan di daerah ini.

“Orang ramai diminta supaya membantu pasukan keselamatan dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.

Berita Harian X