Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:06pm
KEADAAN rumah yang dipercayai disewa mangsa susulan kejadian menjumpai keratan mayat manusia di Kampung Ladang, Krubong ketika tinjauan di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

'Siasat jika ada orang lain terbabit kes bunuh kakak, anak saudara'

MELAKA: “Saya berharap siasatan polis akan mengambil kira semua sudut termasuk kemungkinan pembabitan individu lain dalam pembunuhan kejam adik dan anak saudara saya,” rayu seorang wanita yang mengaku kakak kepada wanita mangsa bunuh berusia 27 tahun, yang dikerat lapan bersama anak lelakinya berusia 11 tahun di Kampung Ladang, Krubong, 10 Oktober lalu.

Dia yang sebelum ini enggan ditemui media kerana terlalu sedih dengan insiden tragis itu berkata, hanya Tuhan saja yang tahu kepiluan terpaksa dihadapi bersama seorang lagi kakaknya berusia 33 tahun dan ibunya berusia 60 tahun, sejak seminggu lalu.

Usaha media menemubual ketiga-tiga beranak itu di rumah mereka di Batu Berendam di sini juga terpaksa mengambil masa dua jam untuk memberi ruang mereka bertenang.

Walaupun keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) masih belum diperoleh yang mengesahkan mangsa adalah ahli keluarga mereka, perasaan hiba digambarkan ketiga-tiga beranak itu sebaik saja dijemput memasuki rumah cukup meruntun perasaan wartawan.

Riak wajah ibu mereka yang mengidap penyakit darah tinggi, sakit tulang belakang dan kanser tahap tiga bersama dua anaknya itu, seakan kuat mengesahkan kedua-dua mayat ditemui itu adalah ahli keluarga mereka.

Wanita itu berkata, sebagai kakak yang sangat rapat dengan arwah, dia terlalu sukar menerima kenyataan itu, apatah lagi kejadian berlaku ketika hampir dengan hari perkahwinannya Ahad ini.

“Saya sebenarnya sudah tawar hati untuk bersanding, namun terpaksa dilakukan kerana semua tempahan sudah dibuat dan kad jemputan sudah diedarkan, tetapi majlis ini nanti hanya dibuat secara sederhana.

“Banyak perancangan majlis bersama arwah perlu dibatalkan dan digantikan dengan alunan zikir, bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah adik serta anaknya,” katanya.

Menurutnya, fokusnya ketika ini untuk mempercepatkan urusan pengebumian jenazah adik dan anak saudaranya itu selepas mendapat keputusan DNA yang diambil daripada sampel darah ketiga-tiga mereka Isnin lalu.

“Saya merayu dan berharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan proses pengesahan supaya kami dapat segera menyempurnakan urusan kedua-dua jenazah.

“Saya juga berharap jemputan majlis persandingan saya Ahad ini tidak bertanyakan soalan berkaitan hal ini yang hanya memburukkan lagi emosi kami sekeluarga,” katanya sebak.

Mereka juga berharap masyarakat dapat menghentikan pelbagai andaian dan spekulasi di media sosial yang hanya menyinggung perasaan keluarga.

“Tolonglah hentikan penyebaran maklumat tidak sahih terutama apabila dikaitkan dengan masalah keluarga sedangkan kami, arwah, suami dan keluarga mentuanya sangat baik dan rapat,” katanya.

Media pada 10 Oktober lalu melaporkan wanita dan anak lelakinya dipercayai bunuh di rumahnya sebelum mayat mangsa dicampak di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Mayat mereka kemudian ditemui pemotong rumput yang sedang bekerja di kawasan itu.

Bahagian kepala dua beranak itu pula ditemui polis di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, kira-kira jam 8 malam, 11 Oktober lalu.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, 12 Oktober lalu kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

Berita Harian X