Rabu, 16 Oktober 2019 | 11:53pm
Seorang rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki ketika mengikuti satu rombongan terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki, petang semalam.

Bas pelancong Malaysia kemalangan di Turki

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan di Afyonkarahisar, kira-kira 300 kilometer dari Ankara.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kemalangan bas petang tadi itu membabitkan 35 rakyat Malaysia dalam perjalanan dari Pamukkale.

Mangsa kemalangan dirawat di hospital Afyonkarahisar.

Agensi pelancongan yang menguruskan percutian kumpulan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu memaklumkan 35 pelanggannya berlepas ke Turki pada Sabtu lalu.

Katanya, mereka dijadual bercuti sehingga 21 Oktober ini di negara terbabit.

“Saya difahamkan ketika kejadian hujan dan sebaik tiba di kawasan selekoh, bas terbabit hilang kawalan sebelum tergelincir dan terbalik ke sebelah kiri.

“Maklumat yang saya terima setakat ini difahamkan seorang daripada mereka meninggal dunia dan ada yang cedera patah tangan dan kaki di hantar ke hospital berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

PKNS pula menerusi satu kenyatan memaklumkan pihaknya sudah menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Turki bahawa kemalangan jalan raya membabitkan 35 anggota PKNS.

“Bas dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

“PKNS masih menantikan kenyataan rasmi daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki yang sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa tempatan dan hospital di Afyonkarahisar,” katanya.

Berita Harian X