Khamis, 17 Oktober 2019 | 4:07pm

Bapa dipenjara 17 tahun rogol anak

KLUANG: Seorang lelaki berusia 56 tahun dihukum penjara 17 tahun kerana merogol anaknya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rajeswari Kannakiah, membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 18 tahun di sebuah rumah di Machap, Simpang Renggam di sini, kira-kira jam 11 malam, 3 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadapnya dengan alasan dia sudah sedar dan insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga kepada orang ramai.

“Berlaku beberapa kejadian seumpama ini sebelum ini namun ia tidak diambil iktibar oleh tertuduh dan juga orang ramai,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh melakukan persetubuhan dengan remaja yang juga anaknya itu dalam bilik di rumah berkenaan.

Mangsa kemudian melarikan diri bersama seorang adik lelakinya dan menceritakan kejadian pada 5 Oktober sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai keesokan harinya.

Seorang lelaki (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kluang atas tuduhan merogol anak perempuannya. - NSTP/Adnan Ibrahim
Berita Harian X