Khamis, 17 Oktober 2019 | 7:41pm

Bapa tiri dipenjara 38 tahun, kena 23 sebatan

IPOH: Nelayan dipenjara 38 tahun dan dikenakan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah atas 22 pertuduhan mencabul kehormatan, merogol dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang kini berusia 15 tahun sejak dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun sebelum ini berdepan hukuman penjara keseluruhan 202 tahun, bagaimanapun bernasib baik selepas Hakim, Datuk Julie Lack Abdullah memerintahkannya menjalani hukuman penjara secara serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 30 September lalu.

Tertuduh membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah dengan prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Pada 11 Oktober lalu, tertuduh hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada semua 22 pertuduhan yang dikenakan sebelum menukar pengakuan kepada bersalah ketika prosiding keputusan yang ditetapkan hari ini.

Lelaki berkenaan didakwa atas 14 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul, dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika remaja itu berusia 12 tahun dan satu pertuduhan merakam gambar bogel.

Bagi semua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C, 376B (1), 377CA, 354, 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) serta 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Lekir di daerah Manjung, antara April 2016 hingga 29 September lalu.

Mengikut fakta kes, semua kesalahan dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas ibu mangsa menemui kad memori SD yang mempunyai gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum laporan polis dibuat.

Naidatul Athirah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana ia membabitkan kepentingan awam kerana kejadian yang berlaku mengakibatkan trauma terhadap mangsa dan mempengaruhi mangsa secara emosi kerana mangsa berasa terancam dan ketakutan terhadap tertuduh.

Katanya, perlakuan yang dilakukan tertuduh adalah satu perlakuan keji kerana sebagai bapa tiri tertuduh sepatutnya bertindak melindungi mangsa dan bukan memperlakukan anak tirinya sebegitu rupa.

Robert bagaimanapun memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang ringan terhadap tertuduh selepas mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh yang banyak menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Julie Lack dalam penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 23 sebatan bagi semua kes itu.

NELAYAN dipenjara 38 tahun dan dikenakan 23 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku salah atas 22 pertuduhan mencabul kehormatan, merogol dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya yang kini berusia 15 tahun sejak dua tahun lalu. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X