Sabtu, 19 Oktober 2019 | 3:15pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Tangkapan LTTE dibuat lepas kebenaran Peguam Negara - KPN

KUALA SELANGOR: Penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibuat selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti kukuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata siasatan mengenai perkara itu sudah dibuat sejak November tahun lalu dan selepas mempunyai bukti kukuh, tindakan menangkap terus dilakukan.

“Polis tidak tangkap semberono. Cukup bukti, kita berinteraksi dengan Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas).

“Jadi, Peguam Negara bagi pandangan. Kalau dia kata belum, (kita) jangan tangkap dan tunggu bukti (baru tangkap),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir, Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab Permotoran Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail.

Abdul Hamid turut meluahkan rasa terkilan terhadap pihak yang menganggap tindakan diambil polis itu berkaitan politik.

Katanya, penahanan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu tidak mempunyai kaitan sama ada di peringkat kerajaan mahupun pembangkang.

“Tangkapan 12 individu ini juga tidak ada kena mengena dengan kaum dan agama. Kenyataan Bahagian Anti Pengganas (E8) adalah konsisten dan semua dapat lihat.

“Saya serahkan perkara ini kepada Datuk Ayob Khan Mydin (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman) dan minta dia elakkan kenyataan yang mengguris hati kecuali ia menjurus aspek keselamatan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang tekanan politik berhubung perkara itu.

Katanya, sebarang keputusan yang dibuat akan dibincang terlebih dahulu dengan pegawainya dan bukan secara suka hati.

Abdul Hamid turut memberi jaminan 12 individu itu tidak akan diseksa sepanjang tempoh penahanan.

“Tahanan diberi hak mendapatkan khidmat peguam dan keluarga dibenarkan melawat serta tempat tahanan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk tidak beri ruang mereka diseksa.

“Setiap pergerakan akan dicatat dalam buku rasmi. Sekiranya mereka yakin tidak bersalah, mereka ada hak untuk membawa isu ini ke mahkamah, saya juga akan pastikan mereka keluar dari mahkamah dalam keadaan sihat,” katanya.

Berita Harian X