Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:03pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador .- Foto Hafiz Sohaimi

Penulis komik kontroversi sudah beri keterangan - KPN

KUALA SELANGOR: Penulis komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, sudah memberi keterangan di Bukit Aman, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata keterangan berkenaan dapat membantu siasatan lanjut pihaknya.

“Satu atau dua individu lagi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat. Kita masih belum pasti apa bentuk kesalahan dalam kes ini,” katanya selepas merasmikan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4.0 2019 (RBV#4) di Dataran Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir, Penaung dan Penasihat Gabungan Kelab Permotoran Malaysia, Tan Sri Rozali Ismail.

Abdul Hamid berkata hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal Bahagian Keselamatan kementeriannya mendapati kandungan komik berkenaan mempunyai perkara tidak benar dan tindakan tegas wajar diambil.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan untuk pengedaran buku komik berkenaan kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.

Menurut kenyataan sama, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah diarah memastikan sekolah tidak menerima dan mengedarkan buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

Komik itu diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Berita Harian X