Sabtu, 19 Oktober 2019 | 9:34pm
Berita kehilangan Nur Alyssa semalam.

Kanak-kanak perempuan hilang sudah ditemui

KUALA LUMPUR: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Choh, Rawang, Intan Nur Alyssa Qaseh Mohd Jais, 12, yang dilaporkan hilang semalam, sudah ditemui.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab Rahman, berkata pihaknya dimaklumkan ahli keluarga murid itu mengenai penemuan kanak-kanak terbabit jam 4.30 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak ini berada di rumah rakannya di Sungai Choh, semalam. Difahamkan dia ponteng sekolah dan mandi sungai bersama rakannya pada hari kejadian.

“Dia dikatakan lambat pulang selepas mandi sungai menyebabkannya takut untuk balik ke rumah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Hari ini, BH melaporkan Nur Alyssa Qaseh dilaporkan hilang sejak semalam.

Azman dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan murid itu daripada ibu tirinya yang berusia 46 tahun.

Mengikut laporan itu, kanak-kanak perempuan berkenaan tiada di sekolah ketika ibu tirinya mahu menjemput murid itu jam 12.15 tengah hari.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian mengeluarkan hebahan Nur Alert menerusi platform media sosial masing-masing bagi memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu.

Berita Harian X