Selasa, 22 Oktober 2019 | 12:33pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, di Bukit Beruang, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, di Bukit Beruang, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Tokan dadah Masjid Tanah tumpas

MELAKA: Seorang tokan dadah yang baru tiga bulan dibebaskan dari penjara ditahan polis bersama sejumlah dadah susulan serbuan dibuat di kawasan Masjid Tanah pada Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid, berkata lelaki berusia awal 30-an itu ditahan bersama dadah disyaki heroin, syabu dan Eramin 5 yang semuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000.

“Susulan risikan dibuat selama sebulan, polis berjaya menahan seorang tokan dadah warga tempatan dalam sebuah kereta Honda Odyssey di tepi jalan di Masjid Tanah, jam 9.50 malam, pada 17 Oktober lalu.

“Ketika ditahan, polis menemui pelbagai jenis dadah di tempat duduk penumpang belakang kereta berkenaan iaitu 835 gram dadah disyaki heroin, 31.3 gram dadah disyaki syabu dan 20 biji dadah disyaki Eramin 5. Nilai rampasan termasuk sebuah Honda Odyssey dianggarkan sebanyak RM80,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) negeri, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua JSJN negeri, Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Huzaimi Mat Taib.

Zulkiflee berkata, lelaki itu direman tujuh hari sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Katanya, pihaknya percaya penahanan tokan dadah berkenaan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Sementara itu, Zulkiflee berkata, JSJN negeri turut melancarkan pelbagai operasi iaitu Ops Ice Breaker (OIB), Ops Blue Devil (OBD), Ops Wanted Narkotik (OWN) dan Ops Junk Devil (OJD) di seluruh negeri ini bermula 28 Julai lalu hingga kelmarin.

Beliau berkata, sepanjang operasi OIB bermula 28 Julai hingga 4 Ogos lalu, seramai 190 orang ditangkap bagi pelbagai seksyen kesalahan mengikut ADB 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Bagi tangkapan OBD, 11 anggota polis anggota berpangkat rendah ditahan termasuk sembilan daripadanya positif dadah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Operasi dijalankan pada 18 Ogos lalu masih diteruskan hingga kini.

“Bagi OWN pula, kita melakukan 103 pemeriksaan tempat kediaman dengan 62 tangkapan setakat ini, manakala OJD pula, pemeriksaan dilakukan kepada 44 orang dan seorang didapati melanggar syarat sekatan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X