Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:17pm
Arjunaidi (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang pada sidang media di IPK Selangor. - NSTP/Norzamira Che Noh
Arjunaidi (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang pada sidang media di IPK Selangor. - NSTP/Norzamira Che Noh

Polis serbu makmal proses heroin

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpas satu sindiket memproses serta mengedar dadah dipercayai jenis heroin bernilai RM119,000 dalam serbuan di Klang, pada Ahad lalu.

Serbuan itu dilakukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Tinggi 2 kerana disyaki dijadikan makmal memproses dadah.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata dalam serbuan pada jam 2 petang itu, polis menahan tiga lelaki tempatan selain merampas 17 paket berisi serbuk ketulan disyaki heroin seberat 6.27 kilogram (kg), satu ketulan mampat heroin belum diproses (heroin base) seberat 386 gram, 500 gram kafein serta peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah.

“Heroin base yang kita rampas dipercayai boleh menghasilkan sejumlah 2.77 kg heroin. Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM119,000.

“Selain itu, polis turut menyita dua motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dianggarkan bernilai RM93,000, ” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan tiga lelaki itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan pada hari yang sama di Pelabuhan Klang kerana dipercayai turut terbabit dalam aktiviti jenayah berkenaan.

Katanya, kesemua suspek berusia 18 antara 44 tahun dan dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Setiap daripada suspek mempunyai peranan tersendiri dengan seorang daripada mereka adalah dalang, seorang tukang masak (memproses dadah), seorang ‘runner’ dan seorang lagi bertindak sebagai penjaga makmal berkenaan.

“Kita juga mendapati keempat-empat suspek ini adalah anggota dua kongsi gelap,” katanya.

Arjunaidi berkata, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X