Selasa, 22 Oktober 2019 | 3:28pm
Gambar fail, Timbalan Pendakwaraya, Datuk V. Sithambaram pada sidang media di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Reaksi Najib terkejut hanya drama - Sithambaram

KUALA LUMPUR: Reaksi terkejut Datuk Seri Najib Razak apabila mengetahui RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya didakwa hanya satu drama, kerana beliau tidak pernah membuat laporan polis atau menyaman pihak bank berkaitan transaksi diragui.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram, dalam hujahnya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, berkata Najib selaku perdana menteri ketika itu, sebaliknya sekadar mempertahankan diri tanpa menunjukkan rasa bersalah terhadap jumlah yang diterima ke dalam akaunnya.

“Pendakwaan menyifatkan reaksi tertuduh yang terkejut selepas diberitahu saksi pendakwaan ke-37 dan 49 seperti ‘drama’.

“Tertuduh selaku perdana menteri, sepatutnya tahu wang keluar masuk dari akaunnya. Namun, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung RM42 juta itu yang dikatakan di luar pengetahuannya.

“Mungkin akaun tertuduh digunakan untuk pengubahan wang haram, tetapi beliau tidak mempedulikan perkara itu walhal sepatutnya tertuduh rasa marah kenapa akaunnya digunakan sewenang-wenangnya.

“Bagaimanapun , tiada tindakan lanjut dibuat terhadap kemasukan wang RM42 juta itu,” katanya.

Sithambaram berkata demikian pada prosiding hujahan kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi hari ini.

Sithambaram berhujah, tindakan Najib yang tidak membuat apa-apa dan membiarkan akaunnya digunakan, adalah seperti membiarkan jenayah berlaku.

Katanya, tertuduh seperti takut untuk melaporkan situasi itu kepada pihak berkuasa sejurus selepas diberitahu Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman (saksi ke-37) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia, Ung Su Ling (saksi ke-49) mengenai kemasukan wang RM42 juta ke dalam akaunnya.

Sithambaram turut berhujah, ahli perniagaan dikehendaki polis Low Taek Jho atau Jho Low tidak memperoleh sebarang ‘ganjaran’ daripada wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Ini adalah kerana Jho Low hanya menguruskan akaun Najib bagi memastikan sebarang cek yang dimasukkan bukan cek tendang.

“Tiada sebab untuk Najib menyatakan beliau tidak tahu mengenai wang itu dalam akaunnya sedangkan beliau sentiasa sentiasa mengeluarkan cek melalui akaun terbabit.

“Sebagai penama akaun mustahil untuk tertuduh tidak tahu kewujudan dana sebanyak itu,” katanya.

Berita Harian X