Rabu, 23 Oktober 2019 | 5:18pm
Mak Kah Keong menggesa siasatan dibuat ke atas pemimpin DAP yang terbabit dengan penghasilan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.
Mak Kah Keong menggesa siasatan dibuat ke atas pemimpin DAP yang terbabit dengan penghasilan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

GERAKAN gesa polis ambil tindakan terhadap pelukis komik

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis diminta segera mengambil tindakan ke atas penulis komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang jelas menghina Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong yang turut menggesa tindakan tegas perlu diambil kerana jelas menghina tokoh kepemimpinan negara.

Beliau juga menggesa siasatan turut dibuat ke atas pemimpin DAP yang terbabit dengan penghasilan komik berkenaan.

Selain itu, tegas beliau komik berkenaan turut mengandungi fakta yang salah mengenai orang Melayu dan orang Islam di negara ini yang dilabelkan sebagai pengganas.

“Setelah meneliti kandungan komik ini di dalam bahasa Inggeris dan Mandarin didapati ada cubaan melaga-laga Malaysia dan China berkaitan isu masyarakat Islam di negara berkenaan.

“Ini perkara serius perlukan tindakan segera dan saya nampak ini propaganda DAP, ‘jarum halus’ untuk mengelirukan pelajar sekolah dan orang ramai,” katanya pada sidang media membantah pengedaran komik itu di ibu pejabat GERAKAN di sini, hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dilaporkan berkata polis sudah mengambil keterangan pelukis komik itu Jumaat lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menyatakan laporan awal oleh bahagian keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik itu.

Pejabat Perdana Menteri turut menafikan memberi kebenaran gambar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk komik itu dan meluluskan pengedaran komik di sekolah.

Komik berkenaan yang memaparkan gambar Dr Mahathir dikatakan turut diberikan kepada Presiden China, Xi Jinping oleh Perdana Menteri sendiri ketika pertemuan dua hala pada Forum Jalur dan Laluan Untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2 di Beijing, April lalu.

Kah Keong juga membangkitkan mengenai tindakan Perdana Menteri menjadikan komik itu sebagai cenderamata kepada Presiden China.

Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jangan mudah dipermainkan untuk DAP menyampaikan propaganda.

“Kementerian Pendidikan juga sepatutnya melihat kandungan komik itu sebelum beri kelulusan untuk diedarkan ke sekolah.

“Ini saya nampak Timbalan Menteri Pendidikan sendiri yang terima hadiah buku ini dari pelukis, ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut menyatakan penerbit komik menggunakan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian untuk membuat prakata komik berkenaan yang jelas cuba mengelirukan duta berkenaan.

“Komik ini langsung tidak bincangkan Inisiatif Jalur dan Jalan sebaliknya memaparkan cerita politik dengan fakta yang salah,” katanya.

Ditanya sama ada GERAKAN akan membuat laporan polis berhubung perkara itu, katanya ramai yang sudah membuat laporan polis.

“Saya percaya tanpa laporan polis pun, mereka boleh mengambil tindakan kerana ini isu sensitif yang menyelewengkan fakta,” katanya.

Berita Harian X