Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:31pm
Seorang wanita maut selepas dihempap pokok tumbang ketika berjalan di hadapan pintu masuk utama UM, petang tadi. - Ihsan pembaca

Wanita maut dihempap pokok tumbang depan UM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut selepas dihempap pokok tumbang ketika berjalan di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya (UM), petang tadi.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut petir di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 5.25 petang.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, memaklumkan pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.31 petang, sebelum mengerahkan jentera dari Balai Bomba Seputih dan Balai Bomba Pantai ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian pada jam 5.44 petang mendapati mangsa yang dihempap pada bahagian tubuh disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Antara kenderaan yang dihempap pokok berhampiran pintu masuk utama UM. - Ihsan pembaca

“Pada masa sama, pihak bomba turut membantu pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, yang turut dihempap pokok berhampiran pintu masuk utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dua lagi kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi, tidak mempunyai penumpang yang parkir di kawasan berhampiran turut dihempap pokok.

Mayat mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X