Sabtu, 26 Oktober 2019 | 2:12pm

Peserta demonstrasi bebas selepas dokumentasi

KUALA LUMPUR: Seorang peserta wanita yang ditahan polis susulan Himpunan Solidariti Mempertahankan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) petang semalam, sudah dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi.

Himpunan anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berlangsung di hadapan pintu masuk UM, mulai jam 3 petang semalam disertai kira-kira 60 peserta terdiri daripada ahli GAMIS dan pelajar UM.

Antara tujuannya ialah untuk mengecam tindakan biadap seorang graduan UM selepas menerima ijazah di atas pentas bagi sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM, pada 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected], berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis makluman daripada penganjur berhubung himpunan itu.

“Beberapa peserta turut dilihat memberi ucapan menggunakan pembesar suara. Pihak polis memberi amaran sebanyak tiga kali kepada peserta untuk beredar dan bersurai kerana menghalang laluan keluar dan masuk pintu utama UM.

“Susulan itu, polis bertindak merampas alatan pembesar suara yang digunakan dalam himpunan itu. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman.

“Seorang peserta wanita berusia 27 tahun yang ditahan di lokasi sudah dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Zairulnizam meminta orang ramai terutama pelajar universiti, untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Katanya, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-2297 9222,” katanya.

Berita Harian X