Ahad, 27 Oktober 2019 | 9:26am
MAQIS merampas 1,200 kilogram (kg) buah mangga dan 1,600 kg ubi keladi kerana tidak mempunyai dokumen masuk secara sah. - Foto ihsan MAQIS

MAQIS rampas mangga dan ubi keladi di sempadan

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1,200 kilogram (kg) buah mangga dan 1,600 kg ubi keladi kerana tidak mempunyai dokumen masuk secara sah.

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, hasil pertanian yang dibawa menggunakan lori itu ditahan MAQIS dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini.

Pengarah MAQIS, Lily Rosalind, berkata kesemua barangan bernilai RM5,000 itu adalah hasil keluaran dari negara jiran dan pemeriksaan mendapati ia dibawa masuk tanpa dokumen sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3).

MAQIS merampas 1,200 kilogram (kg) buah mangga dan 1,600 kg ubi keladi kerana tidak mempunyai dokumen masuk secara sah. - Foto ihsan MAQIS

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan penahanan konsainan (barang rampasan) ini adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak terutamanya yang terdapat pada mangga iaitu kumbang pengorek buah (sternochetus mangiferae).

“Sekiranya serangga perosak ini terlepas ke negara ini ia boleh menyebabkan industri pertanian terjejas dan mendatangkan kerugian kepada pengusaha tanaman pertanian jika ia tidak dikawal,” katanya.

Lily Rosalind berkata, Akta 728 ini diguna pakai untuk memastikan kawalan penyakit haiwan/ikan/tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia selain dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam Industri pertanian negara.

“Konsainan yang disita akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit dapat dicegah.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dalam kes ini,” katanya.

Berita Harian X