Selasa, 29 Oktober 2019 | 7:55pm
KETUA Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi (kiri) kepada Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

'Saya dah boleh 'sign' guna tangan kanan'

JERTIH: “Saya akui sukar untuk menggunakan tangan kiri kerana sudah terbiasa menggunakan tangan kanan sebelum ini.

“Alhamdulillah, hasil fisioterapi setiap minggu saya sudah boleh guna jari tangan kanan untuk tandatangan dokumen serta menulis perkataan secara ringkas.”

Itu perkembangan terbaharu dikongsi bekas Ketua Polis Daerah Besut (KPD), Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, yang putus ibu jari kanan selepas ditetak seorang lelaki, Ogos lalu.

Mohd Zamri, 55, berkata beliau melalui banyak pengalaman pahit dan manis yang tidak akan dilupakan sepanjang berkhidmat lebih tiga tahun di Besut.

“Tragedi 15 Ogos apabila saya diserang seorang lelaki di hadapan rumah sehingga kehilangan ibu jari kanan tidak akan saya lupakan. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat sebagai anggota polis yang berdedikasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis serah tugas KPD Besut kepada Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kelantan, Superintendan Abdul Rozak Muhammad.

Majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini, turut disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Mohd Zamri yang tamat cuti sakit esok akan mula berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kelantan bermula Ahad ini.

Sebagai ketua jabatan di bahagian trafik, beliau perlu berlatih untuk menunggang motosikal trafik berkuasa tinggi.

“Buat masa ini tangan kanan saya belum cukup kuat untuk menggenggam, tetapi insya-Allah saya yakin ia akan bertambah baik selepas ini,” katanya.

Beliau turut berharap suspek yang menetaknya akan mendapat balasan setimpal dan difahamkan suspek kini menerima rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari 15 Ogos lalu, Mohd Zamri cedera di kepala dan putus ibu jari kanan akibat ditetak seorang lelaki menggunakan parang di hadapan rumahnya di Taman Cardova Residence Padang Luas, di sini.

Kejadian berpunca apabila lelaki itu berang selepas Mohd Zamri enggan melayan kerenahnya dan menyuruh suspek yang juga jirannya itu pulang, namun lelaki itu berang dan mengambil parang dalam kenderaannya.

Berita Harian X