Selasa, 29 Oktober 2019 | 8:32pm
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed (tengah) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dari dua lelaki dalam Ops Tapis pada sidang media di ibu pejabat Polis Daerah Raub. - NSTP/Roselan Ab Malek

Jadikan rumah sewa stor bekalan dadah

RAUB: Dua bersahabat ditahan dalam dua serbuan berasingan kelmarin selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, selain Bentong dan Lipis.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata suspek pertama berusia 39 tahun ditahan dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara di bahu jalan di Taman Amalina Lestari, di sini kira-kira jam 5 petang, sebelum pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis heroin seberat 1.15 gram.

“Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Raub Jaya, seterusnya membawa kepada penahanan suspek kedua yang berusia 38 tahun. Dalam pemeriksaan lanjut dijalankan, kita menemui dadah jenis syabu seberat 33.16 gram, selain heroin (32.09 gram) dan pil erimin 5 (43.80 gram).

“Ia disusuli serbuan di sebuah lagi rumah di Taman Amalina Lestari yang dijadikan stor penyimpanan dadah. Ini membawa kepada penemuan dadah jenis heroin seberat 1567.97 gram, syabu (369.10 gram), ketamin (34.54 gram), pil ecstacy (42.27 gram) dan pil erimin 5 (215.40 gram),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Keseluruhannya, dadah dirampas seberat lebih dua kilogram, dengan nilai pasaran semasa mencecah RM150,000.

Berdasarkan modus operandi digunakan, Kama Azural berkata, kedua-dua suspek menyewa dua rumah sewa yang berbeza untuk dijadikan stor dadah, selain mahu mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.

“Suspek pertama mengaku kesemua dadah dirampas itu adalah milik, manakala suspek kedua menyatakan hanya menumpang di rumah berkenaan untuk menghisap dadah,” katanya.

Katanya, turut dirampas satu guni warna putih bertulisan Lotte yang mengandungi straw kosong, dua mesin pengedap plastik warna biru, satu bungkusan plastik lutsinar yang berisi sejumlah beg plastik hitam, pelbagai saiz paket plastik lutsinar, sebuah alat penimbang digital dan penukul serta sebuah kereta jenis Nissan Almera

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang masih bujang dan berasal dari Kuala Lumpur itu mendakwa memperoleh bekalan dadah dari seorang lelaki di Klang, Selangor.

“Kedua-duanya juga baru sahaja tinggal di Raub dua bulan lalu dan masing-masing tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau. Namun, hasil ujian air kencing mendapati suspek kedua positif methamphetamine, manakala suspek pertama negatif.

“Mereka direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Berita Harian X