Rabu, 30 Oktober 2019 | 12:52pm

Buruh ditahan sorok dadah dalam kotak tisu

LIPIS: Tindakan seorang buruh menyembunyikan pelbagai jenis dadah dan peralatan dalam sebuah kotak tisu gagal mengaburi pihak polis apabila taktik itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

Dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Koyan di sini kira-kira jam 12.30 awal pagi hari ini, suspek berusia 46 tahun itu diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lipis .

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pemeriksaan fizikal terhadap suspek tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, pemeriksaan terperinci dalam rumah tersebut dilakukan dan menemui satu kotak tisu di atas meja di ruang tamu rumah terbabit.

“Setelah diperiksa di dalamnya (kotak tisu) terdapat satu alat penimbang digital, satu plastik berisi ketulan kekuningan disyaki dadah jenis heroin seberat 20.5 gram dan dua plastik jernih berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu (5.5 gram).

“Nilai rampasan dadah keseluruhan RM1,750 dan hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dengan penagihan dadah jenis heroin,” katanya.

Katanya, suspek yang sudah berkahwin itu positif methaphethamine hasil ujian saringan awal air kencing dan memiliki tujuh rekod lampau antaranya berkaitan dadah.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Dalam serbuan berasingan di Padang Tengku di sini pada hari sama, seorang buruh dan penganggur ditahan di sebuah rumah kira-kira jam 2 pagi.

Azli berkata, pemeriksaan fizikal terhadap suspek berusia 39 dan 31 tahun itu tidak menemui apa-apa barang salah.

“Anggota kami di Lipis kemudian melakukan pemeriksaan di bilik utama rumah itu dan menjumpai satu paket plastik lut sinar di dalamnya terdapat 53 keratan tiub straw pelbagai saiz dan warna berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 16.54 gram.

“Turut ditemui dua paket plastik lutsinar kristal disyaki syabu seberat 0.61 gram dan nilai keseluruhan dadah RM950,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal kedua-duanya positif methaphetamine dan mengaku terbabit dengan penagihan dadah jenis syabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan suspek pertama memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah dan suspek kedua tiada rekod lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama,” katanya.

Berita Harian X