Jumaat, 1 November 2019 | 11:59am

Polis tahan 468 individu, rampas dadah RM6.4j

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.45 juta selepas menahan 468 individu menerusi Ops Damn Tokan 2.0 di seluruh negara, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata tahanan terdiri daripada 443 lelaki dan 25 perempuan berusia antara 18 hingga 46 tahun.

Katanya, dadah dirampas termasuk syabu, heroin, ganja, pil Erimin 5 dan pil ekstasi dengan berat keseluruhan 122 kilogram (kg).

“Turut disita, wang tunai berjumlah RM33,900 selain pelbagai barangan kemas dan kenderaan masing-masing bernilai RM47,725 dan RM1.2 juta bagi membantu siasatan.

“Menerusi operasi ini, kita harap dapat menyekat pembekalan dadah secara berterusan selepas individu itu ditahan kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) selain didapati membekalkan, memiliki dan positif dadah selepas saringan ujian air kencing.

“Kita juga dapati 141 daripada 240 ‘sarang’ penagihan dadah kembali aktif, kita akan pantau isu ini dengan mengadakan operasi dari semasa ke semasa.

“Polis ingin memohon kerjasama jabatan berkaitan dalam aspek pemulihan dan pendidikan bagi memantapkan usaha penguatkuasaan menangani isu dadah secara holistik,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengenai Ops Blue Devil pula, Mohd Khalil berkata pihaknya menahan 190 pegawai dan anggota polis selepas didapati positif dadah, sejak 13 Ogos lalu hingga semalam.

“Seramai 161 tahanan itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine (12), morphine (tujuh), tetrahydoconnabinol (THC) (dua) dan ketamin (lapan).

“Polis juga berjaya selesaikan 311 kes berkaitan selepas menerima 384 aduan daripada orang ramai dalam tempoh sama.

“Kita harap orang ramai lebih giat menyalurkan maklumat kepada polis bagi memastikan gejala dadah dapat dihapuskan secara menyeluruh,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader pada sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X