Jumaat, 1 November 2019 | 3:04pm
Sembilan individu yang disyaki positif dadah ditahan dalam Ops Perdana di Debak, Betong. - NSTP/Norsyazwani Nasri

Padah lepas gian di tapak pelupusan sampah

BETONG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Betong berjaya menahan sembilan individu yang disyaki positif dadah dalam Ops Perdana yang dijalankan di kawasan pelupusan sampah dekat Debak, semalam.

Ketua AADK daerah Betong, Sapini Jalani, berkata kesemua sembilan individu yang ditahan dalam operasi mulai jam 10 pagi hingga 5 petang itu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing.

“Kesemua suspek terbabit yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun, didapati positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Mereka akan disiasat mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta masyarakat dan anggota keluarga membuat laporan kepada AADK selain pihak berkuasa jika terdapat individu atau anak-anak mereka terbabit dengan masalah dadah.

“Dengan kerjasama yang diberikan masyarakat, masalah ini dapat diatasi dan dibendung dengan sebaiknya.

“Orang awam tidak harus takut melaporkan kegiatan penagihan dadah di kawasan masing-masing kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berita Harian X