Sabtu, 2 November 2019 | 11:53am
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika melihat sebahagia dari 19 warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu yang membabitkan seramai 225 anggota dari 10 agensi IPD Port Dickson. NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Operasi tangkap PATI digiatkan menjelang Tahun Melawat Malaysia

PORT DICKSON: Negeri Sembilan akan mempergiatkan usaha menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata operasi memeriksa warga asing akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan jumlah PATI di negeri ini.

“Ops bersepadu yang dijalankan malam ini (semalam) bertujuan membentuk kerjasama antara semua agensi dan jabatan kerajaan dalam membanteras kehadiran PATI.

“Ia juga dilaksanakan sempena Tahun Melawat Malaysia tahun hadapan dan operasi ini akan diteruskan di seluruh negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), Nordin Ibrahim, berkata 19 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di beberapa lokasi sekitar Port Dickson, malam tadi.

Katanya, operasi yang bermula pada jam 5 petang hingga 10 malam itu disertai 225 pegawai dan anggota polis, JIMNS, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Turut serta, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pejabat Tanah dan Daerah, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta Jabatan Penerangan.

“Pemeriksaan dilakukan di tapak projek perumahan dan rumah kongsi sekitar Lukut, Chuah dan Teluk Kemang. Kita memeriksa 189 warga asing dan menahan 19 PATI atas pelbagai kesalahan.

“10 PATI adalah warga Indonesia, Myanmar (empat), Bangladesh (tiga) dan Vietnam (dua) berusia antara 22 hingga 41 tahun. Enam daripada mereka adalah wanita.

“Semua ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) akta sama iaitu tiada dokumen sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, semua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Lenggeng, Nilai, untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X