Sabtu, 2 November 2019 | 5:22pm
PENAHANAN 14 anggota polis oleh JIPS Bukit Aman di tingkat empat tempat letak kereta sebuah pasar raya di Shah Alam.

14 polis ditahan kerana air ketum

KUALA LUMPUR: Gara-gara air ketum, 14 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) ditahan dalam Op Blue Devil di tingkat empat tempat letak kereta sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor, awal pagi semalam.

Semua mereka ditahan apabila sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang melakukan pemeriksaan, menemui dua botol 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum bersama mereka.

Menurut sumber, dua botol berisi cecair itu ditemui di atas but belakang sebuah MPV dan satu lagi di bawah kenderaan berkenaan dalam pemeriksaan kira-kira jam 4.10 pagi.

“Semua 14 anggota MPV itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk siasatan lanjut. Mereka dibebaskan dengan jaminan selepas ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada penggunaan bahan terlarang itu,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, ketika dihubungi BH mengesahkan penahanan itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X