Isnin, 4 November 2019 | 11:16am
SEORANG lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori diparkir di bahu jalan di Bruan Tutus Matu, Mukah semalam. - Foto Khalid Latip
SEORANG lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori diparkir di bahu jalan di Bruan Tutus Matu, Mukah semalam. - Foto Khalid Latip

Maut rempuh belakang lori rosak

MUKAH : Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori diparkir di bahu jalan di Bruan Tutus Matu, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superintendan Neil Beginda, berkata kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi ketika mangsa, Mohmed Dris, 58, dalam perjalanan dari Matu menghala ke Pangkalan Feri Igan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa merempuh bahagian belakang sebuah lori sawit yang dipercayai rosak yang diletakkan di bahu jalan laluan berkenaan.

“Mangsa dipercayai tidak sempat memberhentikan motosikalnya sebelum merempuh belakang lori terbabit. Akibat kemalangan itu mangsa cedera parah di kepala, rusuk sebelah kiri dan pecah tempurung lutut sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Daro untuk bedah siasat.

“Pemandu lori berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X