Selasa, 5 November 2019 | 3:07pm
Ayob Khan berkata, kita ada undang-undang dan senarai kita sendiri, jadi kita ikut senarai kita. Kita bukan ikut orang. - NSTP/Asyraf Hamzah

LTTE: Malaysia ada undang-undang, senarai sendiri

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai undang-undang dan senarai sendiri berhubung kumpulan pengganas, dan tidak perlu mengikut senarai kumpulan pengganas yang dikeluarkan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata AS berhak dan mempunyai sebab tersendiri untuk mengeluarkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai mereka dan ia tidak boleh dijadikan sebagai asas bagi Malaysia.

“Kita ini negara berdaulat. Setiap apa yang kita buat melalui standard operasi prosedur (SOP) yang mantap.

“Kita ada undang-undang dan senarai kita sendiri, jadi kita ikut senarai kita. Kita bukan ikut orang.

“Kita tidak boleh mengambil senarai daripada AS untuk dijadikan asas. Kalau AS mahu keluarkan, mereka boleh keluarkan tapi banyak negara lain yang menyenaraikan LTTE sebagai pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 dengan tema “Membina Kepercayaan dan Ketelusan: Bekerjasama, Mempercepat, Memperkukuh” di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan sesetengah pihak yang LTTE tidak disebut dalam laporan AS mengenai keganasan.

Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka kerana dipercayai memberikan sokongan kepada LTTE, November tahun lalu.

Berita Harian X