Khamis, 7 November 2019 | 6:12pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

Lembaga Pengarah 1MDB selesa dengan PSI

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gembira dan berpuas hati dengan penjelasan PetroSaudi International Ltd (PSI) mengenai syarikat itu ketika mengadakan kunjungan ke Pejabat PSI di London pada 16 Mei 2011.

Penjelasan itu diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSI, Tarek Obaid dan pengarah Eksekutif PSI, Patrick Mahoney, kepada Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, Datuk Seri Najib Razak pada kunjungan terbabit.

Mengikut CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, penjelasan yang diberikan kedua-du pegawai kanan terbabit menyebabkan 1MDB merasa selesa dengan PSI.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata demikian ketika menjawab soalan balas dikemukakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Sementara itu, Muhammad Shafee merujuk saksi kepada Resolusi Pekeliling Pengarah (DCR) di mana berdasarkan DCR itu, Minit Mesyuarat ditandatangani Lembaga Pengarah 1MDB di London.

Melalui dokumen itu, Muhammad Shafee mencadangkan bahawa Lembaga Pengarah 1MDB mengesyorkan pemegang saham utama menandatangani perjanjian bagi memberikan pelaburan tambahan bernilai RM1 bilion ke dalam syarikat usaha sama 1MDB-PSI.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu.

Shahrol Azral berkata, perjanjian bagi membuat pelaburan tambahan itu ditandatangani Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Berita Harian X