Khamis, 7 November 2019 | 9:33pm
KUALA LUMPUR 17 NOVEMBER 2019. Antara PATI yang ditahan dalam ops bersepadu di sekitar premis perniagaan di sekitar Bukit Jelutong dan Setia Alam Selangor semalam.

Tanggal apron, pura-pura jadi pelanggan restoran elak dicekup

SHAH ALAM: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah restoran yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor petang semalam, bagi mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Namun taktik wanita warganegara Indonesia berusia 30-an yang bekerja di restoran itu berjaya dikesan pihak Jabatan Imigresen sebelum menahannya membabitkan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Restoran makanan itu antara lokasi serbuan dalam satu Operasi Bersepadu sekitar kawasan Bukit Jelutong, Shah Alam dan Setia Alam, di sini.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, dalam operasi yang bermula jam 4 petang dan berakhir jam 7 malam itu, 31 PATI ditahan membabitkan pelbagai kesalahan Imigresen.

“Operasi kali ini tertumpu di sembilan premis perniagaan seperti restoran makanan, kedai runcit dan perkhidmatan mencuci kenderaan di kawasan Bukit Jelutong, Shah Alam dan Setia Alam.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan seramai 41 warga asing diperiksa dan 31 PATI berusia antara 20 hingga 40 tahun membabitkan 27 warganegara Indonesia, tiga warganegara Myanmar dan seorang warga Bangladesh, ditahan.


KUALA LUMPUR 17 NOVEMBER 2019. Antara PATI yang ditahan dalam ops bersepadu di sekitar premis perniagaan di sekitar Bukit Jelutong dan Setia Alam Selangor semalam.

“Ketika serbuan ada cubaan melarikan diri dan ada berpura-pura menjadi pelanggan dengan menanggalkan kain apron tetapi tindakan pantas anggota operasi berjaya menggagalkannya dan seterusnya menahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati ada dalam kalangan PATI menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan bekerja, memberikan alasan bahawa terpaksa bekerja kerana tidak mempunyai wang untuk balik serta kesempitan hidup di negara asal bagi mendapatkan simpati anggota operasi daripada ditahan.

Beliau berkata, PATI yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk tujuan siasatan lanjut dan mereka akan ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

“Kesalahan yang dilakukan oleh PATI ini adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang diberikan.

“Siasatan juga akan tertumpu kepada pihak majikan yang menggajikan PATI dan sekiranya terdapat bukti, majikan ini juga akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Ops Bersepadu dengan kekuatan anggota seramai 22 pegawai dan anggota itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Mohamad Rahmat Abdul Manap.

Berita Harian X