Khamis, 7 November 2019 | 10:04pm
Dua ular jenis tedung selar dan rusuk kerbau ditangkap anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dari Balai Bomba Raub yang sedang ‘berehat’ di bahagian enjin kereta, di Kampung Bukit Pampong, dekat Raub, petang tadi. - NSTP/Ihsan Bomba Pahang

Bomba tangkap 2 ular dalam enjin kereta

KUANTAN: Dua ular jenis tedung selar dan rusuk kerbau ditangkap anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dari Balai Bomba Raub yang sedang ‘berehat’ di bahagian enjin kereta, di Kampung Bukit Pampong, dekat Raub, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Raub, Hairul Anuar Yaacob, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan ular berbisa itu pada jam 5.39 petang daripada seorang anggota bomba yang kebetulan ternampak kelibat reptilia berkenaan.

Katanya, ular tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter itu dipercayai sedang mengejar ular rusuk kerbau untuk dijadikan makanan.

“Kejadian itu disedari oleh anggota kita yang kebetulan melalui kawasan terbabit dan dia menghubungi bilik gerakan selepas melihat reptilia berkenaan masuk ke bahagian enjin kereta jenis Honda Civic milik penduduk yang diletakkan berhampiran Klinik Desa Bukit Pampong.

“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap kedua-dua reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas dipanggil penjerut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Hairul Anuar berkata, ketika proses tangkapan dilakukan, ular tedung selar itu dilihat agak agresif berkemungkinan akibat lapar.

“Kita kemudiannya melepaskan reptilia itu ke kawasan hutan yang jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

Berita Harian X