Khamis, 7 November 2019 | 10:07pm
Antara barangan kraftangan berasaskan buluh dirampas MAQIS, di Kompleks Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. - Foto ihsan MAQIS

40 unit produk kraftangan dirampas

LANGKAWI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah merampas 40 unit produk kraftangan berasaskan buluh dan rotan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa, Langkawi, hari ini.

Pengarahnya, Lily Rosalind, berkata hasil pemeriksaan mendapati kraftangan berasaskan buluh dan rotan itu tidak mempunyai permit import (IP) sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

Beliau berkata, produk kraftangan itu dipercayai dibawa masuk dari Bali, Indonesia ke negara ini.

“Nilai rampasan dianggarkan RM800 dan tujuan dibawa masuk ke sini adalah untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kesemua barangan rampasan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada Jabatan MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta yang sama, di mana denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa peka dan bersedia melaksanakan tanggungjawab mengawal kemasukan konsainan barangan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara.

“Ini adalah untuk memastikan keselamatan makanan, haiwan, tumbuhan, manusia dan menjamin industri pertanian negara dalam keadaan baik,” katanya.

Berita Harian X