Jumaat, 8 November 2019 | 9:31am
SEBAHAGIAN daun ketum seberat 200 kilogram bernilai RM10,000 yang dirampas Pasukan Polis Marin di persisiran Pantai Batu Putih, Kuala Perlis, Perlis. - Foto ihsan Polis Marin

Polis marin rampas 1,100 liter diesel, 200 kg daun ketum

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi merampas 1,100 liter minyak diesel dan 200 kilogram (kg) daun ketum dalam dua kes berasingan di perairan Kuala Perlis, Perlis, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata dalam kes pertama sebuah bot pukat hanyut ditahan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis pada jam 11.30 pagi.

“Pemeriksaan mendapati bot pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan dan menghala ke Thailand itu dinaiki seorang tekong tempatan berusia 55 tahun.


SEBAHAGIAN daun ketum seberat 200 kilogram bernilai RM10,000 yang dirampas Pasukan Polis Marin di persisiran Pantai Batu Putih, Kuala Perlis, Perlis. - Foto ihsan Polis Marin

“Anggota PPM juga menemui satu tangki aluminium disorok bahagian hadapan dan dua tong plastik dalam bot mengandungi keseluruhan 1,100 liter diesel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosman berkata, diesel yang dirampas diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk siasatan lanjut.

“Kes rampasan barangan kawalan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Terdahulu, Rosman memaklumkan pihaknya turut merampas 200 kg daun ketum di pesisiran Pantai Batu Putih, Kuala Perlis, pada jam 6 pagi.

“Daun ketum terbabit yang dianggar bernilai RM10,000 diisi dalam 11 plastik dan dibawa menggunakan motosikal dipercayai untuk dihantar ke Thailand.

“Penunggang motosikal berjaya meloloskan diri, manakala daun ketum yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X