Jumaat, 8 November 2019 | 11:00am
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Faiz Anuar

Rabies ragut satu lagi nyawa di Sarawak

KUCHING: Wabak rabies atau penyakit anjing gila meragut satu lagi nyawa di Sarawak membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan itu, 2 November lalu.

Ia menjadikan keseluruhannya 21 kematian direkodkan akibat penularan wabak berkenaan di negeri ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mangsa yang berasal dari Kampung Mambong, Jalan Penrissen, di sini meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, sampel untuk ujian rabies yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) disahkan positif rabies pada 6 November 2019.

“Kanak-kanak itu kelihatan tidak aktif sejak 13 Oktober 2019 dan mengadu sakit tekak. Pada 15 Oktober 2019, mangsa mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan.

“Keadaannya bertambah teruk dan dibawa pula ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober 2019 dan dirawat sebagai pesakit luar dan didiagnose Upper Respiratory Tract Infection (URTI) sebelum dibawa ke HUS pada 21 Oktober 2019 apabila keadaannya semakin lemah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Nor Hisham ketika mengulas lanjut, berkata hasil pemeriksaan mendapati keluarga kanak-kanak itu memiliki dua anjing peliharaan di rumah mereka.

.

“Difahamkan, kedua-dua anjing itu tidak pernah mendapat suntikan vaksinasi anti-rabies dan bebas bergaul dengan anjing liar, namun hingga kini kedua-dua anjing itu masih hidup dan sihat.

“Mangsa juga tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain dan kes rabies terbaru ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes terbaharu itu menjadikan 22 jangkitan rabies kalangan manusia di Sarawak sejak penularan wabak itu diisytiharkan pada 1 Julai 2017, dengan enam daripadanya dikesan berlaku tahun ini.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 21 mangsa meninggal dunia, manakala seorang mangsa membabitkan kanak perempuan mengalami komplikasi neurologi teruk dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan hayat sejak dua tahun lalu.

Berita Harian X