Jumaat, 8 November 2019 | 12:27pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto Sadam Yusoff

Pengurusan prosiding komital Lokman 22 November

KUALA LUMPUR: Pengurusan kes prosiding komital dikemukakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, terhadap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, ditetapkan 22 November depan.

Ia berhubung dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi itu, yang juga bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, adalah seorang saksi penting dalam kes terbabit.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam, mewakili pihak Peguam Negara dan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed mewakili Lokman.

Terdahulu, Wan Aizuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya baru saja menerima afidavit tambahan daripada pihak pendakwaan pada 5 November lalu.

Beliau berkata, afidavit tambahan itu baru diserahkan kepada mereka dan memerlukan masa bagi meneliti afidavit.

“Kami akan mempertimbangkan sama ada ingin membuat permohonan untuk mengetepikan prosiding komital yang diperoleh (Peguam Negara) atau terus menjawab afidavit berkenaan,” katanya.

Wan Aizuddin turut memohon maaf ke atas ketidakhadiran peguam utama kes itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam prosiding hari ini kerana beliau perlu pergi ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengendalikan satu kes bunuh.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memaklumkan pihaknya juga akan meminda notis usul berkenaan prosiding komital itu.

Pada 22 Oktober lalu, Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman.

Pada 10 Oktober lalu, Peguam Negara selaku pemohon, memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana perbuatannya yang menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam Negara berkata pada tarikh itu (25 September), responden dalam temu bual video mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi, kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

Berita Harian X