Jumaat, 8 November 2019 | 12:50pm
- Foto hiasan

Bunuh diri tak tahan diburu along

JOHOR: Beberapa kes bunuh diri yang berlaku di negeri ini sejak tahun lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan tekanan dihadapi mangsa akibat diburu along.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon, berkata pemerhatiannya mendapati segelintir mangsa kes bunuh diri pernah cuba mendapatkan nasihat pihaknya selepas tidak mampu membayar hutang dengan along sebelum ini.

“Kita bantu ramai orang yang hadapi masalah ini melalui beberapa cara termasuk rundingan semula dengan along terbabit mengenai jadual pembayaran hutang mereka.

“Ada peminjam yang berjaya membebaskan diri daripada hutang along, namun ada juga yang gagal dan kehilangan segala-galanya termasuk kerja dan keluarga.

“Kita dapati, beberapa orang mengambil tindakan melampau dengan membunuh diri kerana tidak sanggup diburu along selain berasa kehidupan mereka tidak lagi bermakna,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai statistik tepat mengenai bilangan mangsa yang membunuh diri kerana tidak semua kes dimaklumkan kepada mereka oleh ahli keluarga.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya menerima 80 aduan kes berkaitan along sejak Januari hingga Oktober lalu, berbanding 40 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan 50 peratus itu sebahagiannya dipercayai berpunca daripada peminjam yang sebelum ini bekerja di Singapura kehilangan kerja akibat penutupan syarikat di republik berkenaan.

“Sebelum ini mereka mendapat gaji besar dan hidup mewah, selepas tidak bekerja, mereka masih perlu meneruskan pembayaran komitmen yang sama seperti sebelumnya termasuk ansuran kereta dan rumah.

“Ada antara mereka mengambil jalan mudah dengan meminjam daripada along, namun tidak mampu membayar semula menyebabkan hidup mereka semakin tertekan diburu dan diganggu ceti haram itu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelak meminjam daripada along kerana syarat bayaran yang ditetapkan tidak munasabah selain golongan itu kerap menggunakan cara ganas dan menyalahi undang-undang untuk mengutip hutang.

Berita Harian X