Jumaat, 8 November 2019 | 2:25pm

Denda RM4,000 kerana ugut ibu

MIRI: Seorang lelaki didenda RM4,000 atas dua pertuduhan mengugut ibunya dengan memecahkan tingkap dan merosakkan pintu rumah keluarganya di Bandar Baru Permyjaya, di sini.

Tertuduh, Cantona Henry, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Eleanor Mako Timothy.

Eleanor kemudian menetapkan hukuman dua bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Mary Ajan, 50, dengan cara memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah dengan niat menakutkan ibunya.

Bagi tuduhan kedua, Cantona didapati melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah milik ibunya menggunakan batu bata sehingga menyebabkan kerugian RM300.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.30 pagi pada 3 November lalu di rumah keluarganya di Taman Permy, Bandar Baru Permyjaya di sini.

Tertuduh merayu hukuman ringan dan menyesal atas perbuatannya itu.

Katanya, ketika kejadian, dia berada dalam keadaan mabuk dan dikunci di luar rumah oleh ibunya kerana balik lewat.

Berita Harian X