Jumaat, 8 November 2019 | 3:24pm

Mahkamah batalkan tuntutan balas 5 bekas Pengarah FGV

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan lima bekas pengarah bukan eksekutifnya berhubung dakwaan kerugian dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd (APL) pada 2014.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar selepas membenarkan permohonan FGV Holdings Berhad, dan 10 lain untuk membatalkan tuntutan balas lima bekas pengarahnya, ketika prosiding dalam kamar yang turut dihadiri peguam, Fahda Nur Ahmad Kamar.

Peguam Andrew Chiew Ean Vooi, yang mewakili FGV ketika ditemui media, berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tuntutan balas yang difailkan lima bekas pengarah FGV itu adalah tidak berasas.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan kelima-lima individu berkenaan membayar kos RM8,000 dan menetapkan 14 Januari ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Kelima-lima individu berkenaan sebelum ini disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL.

Mereka ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Kelima-limanya selaku plaintif memfailkan tuntutan balas pada 11 Februari lalu, menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi, pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV, iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Sulaiman, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman terbabit adalah mengenai pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014

Berita Harian X