Jumaat, 8 November 2019 | 3:46pm
PEGAWAI Memerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Superintendan Tan Hiap Seng menunjukkan beras yang dirampas pada sidang media di Miri, hari ini. - Foto Kandau Sidi

Rampas 352.85 tan beras seludup bernilai RM1.3 juta

MIRI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 352.85 tan beras seludup bernilai lebih RM1.3 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Piasau, di sini kelmarin.

Pegawai Memerintah Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata serbuan kira-kira jam 2 petang itu susulan maklumat risikan dan intipan di premis berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Di dalam gudang berkenaan, kita menemui 7,057 guni beras dengan setiap guni seberat 50 kilogram. Ketika serbuan, seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hiap Seng berkata, hasil siasatan awal mendapati beras berkenaan diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di bandar raya ini.

“Hasil siasatan juga mendapati gudang berkenaan sudah tiga kali diserbu, dengan kali terakhir pada 1 Disember tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X