Jumaat, 8 November 2019 | 6:54pm
Anggota PPM menahan suspek yang disyaki cuba membawa keluar 40 tong gas cecair petroleum (LPG) berhampiran Pasar Ikan Tawau. - Ihsan PPM

Cubaan seludup 40 tong LPG gagal

TAWAU: Cubaan nekad seorang lelaki menyeludup keluar 40 tong gas cecair petroleum (LPG) membawa padah selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) berhampiran Pasar Ikan Tawau, di sini pagi tadi.

Suspek yang juga pemandu lori berumur 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) selepas pemantauan dan risikan dijalankan di kawasan berkenaan kira-kira jam 6 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata suspek ditahan selepas didapati membawa barang kawalan bersubsidi tanpa kebakaran dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini.

“Suspek menggunakan kenderaan persendirian (lori) membawa tong gas LPG iaitu, masing-masing LPG Petronas (36 tong) dan MyGaz (empat tong) yang disembunyikan di ruang belakang lori berkenaan.

“Suspek juga secara lisan mengaku semua tong gas LPG berkenaan untuk diedarkan di Pulau Sebatik melalui jalan laut sebelum diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, suspek gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas semua barang kawalan dibawanya.

Katanya, suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM37,250 kemudiannya disita dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes dirujuk ke KPDNHEP cawangan Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X