Sabtu, 9 November 2019 | 1:53pm
MOHD Fadhir Hazmir bersama seorang pekerja dan empat rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kenderaan selepas terperangkap dalam pacuan empat roda ketika meredah anak sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang, semalam. - Foto ihsan Mohd Fadhir Hazmi
MOHD Fadhir Hazmir bersama seorang pekerja dan empat rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kenderaan selepas terperangkap dalam pacuan empat roda ketika meredah anak sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang, semalam. - Foto ihsan Mohd Fadhir Hazmi

Enam lelaki terperangkap dalam kenderaan selamat

KUALA KRAI: Enam lelaki termasuk seorang pekerja ladang terselamat selepas terperangkap dalam pacuan empat roda ketika meredah anak sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Mohd Fadhir Hazmir, 39, bersama seorang pekerja dan empat rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kenderaan sebelum berenang menggunakan pelampung ke tebing berhampiran dan diselamatkan bomba.

Mohd Fadhir berkata, sebelum kejadian, dia bersama seorang lagi rakannya, Samsuri Mohamad, 43, masuk ke kawasan ladang tanam semula balak pada jam 9 pagi untuk membayar gaji pekerja.

Katanya, sebaik selesai semua urusan, dia bersama rakan dan seorang pekerja ladang warga Indonesia berusia 32 tahun mula keluar dari kawasan ladang itu pada jam 3 petang.

“Ketika dalam perjalanan pulang, Toyota Hilux yang dinaiki terkandas akibat tanah runtuh sebelum saya mendapatkan bantuan rakan dikenali sebagai Tokdo yang tinggal di kampung berhampiran untuk menarik keluar kenderaan yang tersangkut. Tokdo datang bersama dua rakannya dengan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero.

“Bagaimanapun, kenderaan pacuan empat roda Tokdo gagal menarik kenderaan saya sebelum kami ambil keputusan keluar dari kawasan ladang dengan pacuan empat rodanya dan pada ketika itu hujan lebat.

ENAM lelaki termasuk Pengurus Ladang, Mohd Fadhir Hazmi terpaksa menggunakan pelampung berenang ke tebing berhampiran sebelum diselamatkan bomba selepas pacuan empat roda yang dinaiki terperangkap di tengah sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang, semalam. - Foto ihsan Mohd Fadhir Hazmi
ENAM lelaki termasuk Pengurus Ladang, Mohd Fadhir Hazmi terpaksa menggunakan pelampung berenang ke tebing berhampiran sebelum diselamatkan bomba selepas pacuan empat roda yang dinaiki terperangkap di tengah sungai di Kampung Pasir Jering, Chenulang, semalam. - Foto ihsan Mohd Fadhir Hazmi

“Ketika dalam perjalanan keluar, kami merentasi satu anak sungai yang ketika itu air berada pada paras tayar kenderaan sahaja. Bagaimanapun, apabila berada di tengah, secara tiba-tiba air naik mendadak sehingga empat meter.

“Kami cuba berpatah balik namun gagal dan tidak boleh keluar melalui pintu kerana air naik dengan cepat. Kami terpaksa keluar melalui tingkap kenderaan dan duduk di atas bumbung untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Tokdo kemudian berenang ke tebing untuk mengambil pelampung di rumah penduduk berhampiran berikutan arus deras.

“Kami terpaksa bergilir-gilir hampir sejam menggunakan satu pelampung untuk ke tebing berhampiran sejauh 150 meter. Saya kemudian hubungi rakan untuk mendapatkan bantuan bomba.

“Kami berjaya dibawa keluar dari kawasan terbabit dengan bot bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Jafar Jafari Mustafa, berkata pihaknya menerima panggilan jam 10.17 malam sebelum pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, kami menggunakan bot penyelamat menyusuri dua anak sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Dengan bantuan orang awam, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari lokasi. Operasi tamat sepenuhnya jam 12.53 tengah malam,” katanya.

Berita Harian X