X
Ahad, 10 November 2019 | 4:40pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid.
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid.

436 diberkas di Sarawak kerana dadah

KUCHING: Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperhebat usaha membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Sarawak membawa kepada tangkapan 436 individu menerusi pelbagai operasi sepanjang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid, berkata daripada bilangan itu, 40 individu ditahan di bawah kategori bekalan, 130 kerana memiliki dadah dan 266 positif dadah.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, 12 individu dipercayai pengedar ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Polis sudah mengambil pelbagai tindakan proaktif bagi mengesan sindiket atau individu yang aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah menerusi siasatan dan risikan secara profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, dua operasi khas narkotik dijalankan di seluruh negara sepanjang Oktober lalu, iaitu Ops Waran Tangkap dan Ops Damn Tokan.

“Bagi Ops Waran Tangkap yang dijalankan oleh polis pada 14 hingga 18 Oktober, seramai 37 orang berjaya dikesan dengan pelbagai kesalahan narkotik.

“Bagi Ops Damn Tokan yang dijalankan selama satu hari pada 29 Oktober, tujuh orang ditangkap di bawah kategori bekalan, 14 orang ditangkap kerana memiliki dadah dan dua positif dadah,” katanya.

Katanya, polis amat menghargai dan ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan seluruh rakyat negeri ini dalam penyaluran maklumat berkenaan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X