Isnin, 11 November 2019 | 5:49pm
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bayi mati dipercayai didera, 3 suspek termasuk ibu bapa ditahan

SEPANG: Sepasang suami isteri ditahan susulan kematian bayi lelaki mereka berusia setahun 11 bulan, 4 November lalu, dipercayai didera dengan lebih 80 kesan lebam, lecur dan calar baru serta lama ditemui di seluruh badan mangsa.

Pasangan berusia 42 dan 37 tahun yang menetap di Sungai Merab itu ditahan di pekarangan Hospital Serdang, Selasa lalu.

Selain itu, polis menahan seorang wanita yang juga rakan serumah ibu mangsa di Putrajaya, Jumaat lalu, dan ketiga-tiga suspek terbabit adalah penjawat awam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata hasil siasatan turut mendapati ibu mangsa mengalami masalah kemurungan.

“Polis menerima laporan kejadian itu daripada doktor Hospital Serdang pada 4 November lalu.

“Berdasarkan laporan, Jabatan Kecemasan hospital itu menerima pesakit bayi terbabit yang dibawa ibu bapanya dalam keadaan tiada tanda masih hidup.

“Pengadu (doktor) cuba memberikan bantuan kepada bayi itu, namun tiada tindak balas dan pada jam 7.20 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa didapati ada kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan, bengkak dan luka pada kemaluan, kesan lebam pada bahagian badan, serta kesan parut di kedua-dua tangan dan kaki.

“Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa ialah kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul serta keras.

“Sebanyak 89 kesan lebam, lecur dan calar baru serta lama ditemui di seluruh badan mangsa,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mangsa adalah anak bongsu daripada empat beradik, dan polis turut mengambil keterangan daripada adik-beradiknya yang lain.

Susulan itu, beliau berkata, ibu bapa mangsa direman hingga 18 November ini, manakala seorang lagi suspek wanita direman hingga 15 November bagi membantu siasatan.

Berita Harian X